بسم الله الرحمن الرحيم
Bersempena dengan hari kelahiran junjungan kita Muhammad S.A.W., tidak sah kiranya jika tidak diadakan sesuatu yang boleh menghidupkan hari penuh bersejarah ini, hari di mana lahirnya seorang manusia yang telah merubah dunia, hari di mana lahirnya manusia yang menjadi kerinduan seluruh penduduk langit dan bumi.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak Kami utus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam.” {Surah al-Anbiya’ : ayat 107}
Justeru kerabat HABIBAT, junior dan senior dengan kerjasama JKP Kenegaraan, Etika dan Kerohanian Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri telah mengadakan satu program sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan نشتاق إليك يا حبيب الله yang dinamakan sebagai ‘Gema Cinta Rasul’ bertempat di APIUMNP sendiri pada 12-13 Januari 2014.
Senior & Junior bergabung tenaga menjayakan 'Gema Cinta Rasul'
Penceramah jemputan -Ustazah Wan Nor 'Azam bt Wan Abdul Azizi
‘Malam Mahabbah Rasul’ menjadi acara kemuncak bagi program ini. Warga APIUM disajikan dengan persembahan istimewa daripada kerabat HABIBAT, persembahan nasyid daripada saudara Nur Fansuri dan Ahmad Ammar sekaligus penyampaian hadiah musabaqah yang disertai oleh pelajar-pelajar semester 2 dan 4.
Segala puji bagi Allah yang telah mempermudahkan urusan kami sepanjang program ini dijalankan. Setiap perkara yang kita lakukan, sudah tentulah kesempurnaan itu yang menjadi target utama yang ingin dicapai. Senyuman di bibir warga APIUM dan senyuman kerabat HABIBAT sendiri menunjukkan kepuasan daripada hasil keseluruhan program. Terima kasih juga diucapkan kepada pelajar-pelajar yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan program ini.
Bukan semata-mata untuk berhibur, tetapi niat di hati ingin mengajak semua agar menghidupkan ingatan kita kepada Baginda S.A.W., bukan hanya pada hari kelahiran Baginda, tetapi pada setiap detik, mengenangkan kembali betapa besarnya pengorbanan Baginda kepada kita.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, hendaklah kalian berselawat kepadanya dan mengucapkan salam dengan penuh penghormatan kepadanya.” {Surah al-Ahzab: ayat 56}
Wallahu’alam
Oleh: Dayana